
MELAKA: Seorang jurusolek lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelakon remaja lelaki di sebuah salun di Ayer Keroh, minggu lalu.
Tertuduh, Saril Sarip, 42, dari Durian Tunggal, Alor Gajah, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.
Prosiding kes didengar Hakim Haderiah Siri, manakala tertuduh diwakili peguam L Sharveen dan Chua Yong Yi.
Mengikut pertuduhan, Saril didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap penama berusia 18 tahun tanpa kerelaannya dengan meletakkan ketakutan kecederaan kepadanya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di salun dandanan rambut miliknya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 4.15 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, dimana jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi serta melapor diri setiap bulan di Balai Polis Durian Tunggal sehingga kes selesai.
Peguam, memohon jaminan rendah dan menghujahkan prinsip jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukan bersifat menghukum.
Menurutnya, tertuduh yang masih bujang dan memiliki kedai gunting rambut di Ayer Keroh hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.
Katanya, tertuduh juga perlu menyara ibu berusia 78 tahun yang menghidap darah tinggi dan penyakit usus serta menjaga kakak yang tidak bekerja.
Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM5,000 berserta syarat seperti dipohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan selesai.
Mahkamah juga menetapkan kes untuk sebutan semula pada 24 Februari depan bagi serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.