comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Juruteknik mengaku tidak bersalah berdagang senjata, edar dadah 

GEORGE TOWN: Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan berdagang senjata api di Persiaran Batu Uban, Gelugor, 25 Mei lalu.

A Prakash, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Berdasarkan pertuduhan, Prakash didakwa berdagang pistol iaitu jenis Smith&Wesson berserta kelopak dan sepucuk pistol Walter P22 serta kelopak.

Dia juga dituduh berdagang sepucuk pistol semi automatik Glock Model 19C berserta kelopak; sepucuk pistol Mauser-Werke berserta kelopak; sepucuk pistol Star Eiba berserta kelopak dan sepucuk revolver Smith&Wesson.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di 35-03-05 Century Park Persiaran Batu Uban, Gelugor dalam daerah Timur Laut pada jam 3.10 petang, 25 Mei lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 40 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam Y Yogeswaran.

Mahkamah tidak mencadangkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Prakash didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah 46,161 gram methamphetamine di lokasi dan masa yang sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Prakash didakwa mengedar dadah berbahaya seberat 33,764 gram di lokasi dan masa yang sama.

Dalam kedua-dua pertuduhan itu, Prakash mengaku tidak bersalah selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Basri.

Kedua-dua kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.

Mahkamah tidak mencadangkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh serahanan dokumen.

Terdahulu, media melaporkan pembongkaran makmal pemprosesan dan stor penyimpan dadah di rumah sewa menerusi serbuan yang dijalankan polis secara berasingan di dua lokasi di negeri ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, aktiviti berkenaan terbongkar susulan penahanan lelaki berusia 38 tahun.Selain dadah, polis turut merampas beberapa pucuk pistol dan peluru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini