comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Juruteknik tak mengaku cabul sepupu tumpang teduh di rumah

FOTO: NSTP

MUAR: Juruteknik sebuah syarikat di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mencabul sepupu perempuan ketika menumpang berteduh di rumah selepas kematian ibu, dua tahun lalu.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat tertuduh berusia 27 tahun selepas dia berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap sepupunya yang berusia 15 tahun ketika itu, di rumahnya di Batu Pahat, pada jam 4 pagi, 12 Jun 2022.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia sekali lagi mengulangi perbuatan keji itu terhadap mangsa pada jam 1 pagi, 31 Oktober 2022 dengan semua kejadian dan masa berlaku di tempat sama.

Hukuman bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh adalah, dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan tinggal bersama keluarga tertuduh berikutan kematian ibunya ketika dia berusia enam tahun.

Mangsa ditinggalkan bersama keluarga tertuduh selepas bapanya yang bekerja sendiri, tidak mempunyai masa untuk menjaganya.

Selepas kejadian itu, mangsa dengan bantuan ahli keluarga ibunya bertindak membuat laporan polis.

Suspek bekerja di Singapura ketika ini, ditahan selepas pulang ke rumah keluarganya di Batu Pahat, untuk menyambut Tahun Baharu Cina, minggu lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam Chee Hui Bing.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Batu Pahat pada setiap awal bulan selain tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes ini selesai.

Kes disebut semula pada 25 Mac ini untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini