comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Juruteknik warga AS didakwa sebabkan kematian perunding peralatan perubatan

Warga AS, Thomas Joseph yang didakwa menyebabkan kematian perunding peralatan perubatan dalam kejadian pergaduhan akibat terlanggar bahu di sebuah pusat hiburan, dua minggu lalu. – Foto: NSTP

PETALING JAYA: Juruteknik warga Amerika Syarikat (AS) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana menyebabkan kematian perunding peralatan perubatan dalam kejadian pergaduhan akibat terlanggar bahu di sebuah pusat hiburan, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Thomas Joseph, 30, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian K Chandra Bose, 58, iaitu niat menyebabkan kecederaan sehingga boleh mengakibatkan kematian.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di The Square Jaya One, Jalan Prof Diraja Ungku Aziz, di sini, jam 12.30 tengah malam, 23 Mac lalu, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim, mencadangkan tiada jaminan ditawarkan atas alasan tertuduh ada risiko melarikan diri, namun jika dibenarkan ia perlu ditetapkan pada kadar tinggi.

“Syarat tambahan penyerahan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Namun, peguam bela tertuduh, Suraj Singh, merayu anak guam dilepas dengan jaminan kerana pertuduhan bukan mengikut Seksyen 302 KK kerana membunuh, sebaliknya Seksyen 304 KK.

“Kita tidak boleh menghukum seseorang hanya kerana dia warga asing, selain tidak membantah penyerahan pasport hingga kes selesai,” katanya.

Hakim tidak membenarkan sebarang jaminan kerana berpandangan tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini