comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurutera awam kanan didakwa subahat, tipu RM19,950

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Seorang jurutera awam kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dan bersubahat bagi melakukan pembayaran kursus latihan pada tahun 2018.

Tertuduh, Fadziyani Mohamed, 55 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Tentera, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Kem Lapangan Sungai Petani, didakwa bersubahat dengan Pengurus Syarikat Genius Intellect Services, Mohd Aswad Hamzah untuk menipu Jabatan Akauntan Negara.

Tertuduh secara tidak jujur menipu Pembantu Akaun, Mohd Ashari Abdul Wahab untuk meluluskan pembayaran yuran perkhidmatan Kursus Latihan Kakitangan Kursus Pemasangan Penyaman Udara bernilai RM19,950 kepada Syarikat Genius Intellect Services pada 31 Mei 2018 di Pejabat Jabatan Akauntan Negara, Kota Setar.

Pendakwaan dilakukan dibawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun yang sama

Jika disabitkan boleh dihukum penjara tidak lebih dari lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 beserta seorang seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport antarabangsanya dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili Peguam, Mohd Norazam Majid.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini