comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurutera didakwa pandu kereta ketika mabuk sebabkan kematian 2 guru

Foto: NSTP

BUTTERWORTH: Seorang jurutera didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian dua guru lelaki dalam kejadian 16 Disember tahun lalu.

Tertuduh, Teoh Joo Leong, 47, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Mengikut pertuduhan, duda anak tiga itu didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan hingga menyebabkan kematian Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Baru dalam daerah Seberang Perai Utara pada 16 Disember 2023, jam 2.30 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Yi Bin dan Chew Anthony.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu supaya wang jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang berpendapatan RM7,000 sebulan yang telah bercerai perlu menyara tiga anak masih bersekolah serta ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan, sebagai tarikh serahan dokumen.

Pada 16 Disember lalu, dua guru maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan BMW yang hilang kawalan.

Ketika itu, dua guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bunga dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phei Shin dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menghadiri pertemuan makan malam bagi meraikan rakan guru mereka yang akan bertukar sekolah.

Hasil ujian pernafasan dilakukan ke atas pemandu BMW itu mendapati kandungan alkohol di dalam badannya melebihi paras yang dibenarkan.

Loading...
Terkini