comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurutera JKR didakwa ubah wang haram, tipu, rasuah RM131,600

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan hari ini atas 11 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan menipu serta menerima rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM131,600.

Bagaimanapun, Izwan Mashuri, 40, sebagai Jurutera Awam Cawangan Kejuruteraan Cerun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob, Azura Alwi dan Suzana Hussain.

Mengikut 11 pertuduhan, Izwan membabitkan diri secara langsung dalam pengubahan wang haram iaitu mengarahkan seorang lelaki untuk membuat pindahan wang RM68,600 dari akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik SBR Consultant ke akaun Malayan Banking Berhad milik seorang wanita.

Kesalahan terbabit dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Selayang, Lot 150A, 152A & 154A, Bangunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Off Jalan Ipoh, Batu Caves, di sini, antara 9 Mac hingga 2 Disember 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (I) akta sama.

Oleh demikian, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan rasuah pula, Izwan menerima RM43,000 daripada seorang lelaki menerusi akaun CIMB Bank milik Normas Resources ke akaun Bank Islam milik SBR Consultant.

Ia sebagai upah mencadangkan perlantikan syarikat kawalan lelaki berkenaan iaitu Normas Resources dan Muzud Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn Bh bagi kontrak projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

Bagi pertuduhan menipu, Izwan memperdaya seorang lelaki kononnya boleh mencadangkan syarikat Paradigm Jitu Enterprise mendapatkan kerja perunding reka bentuk bagi projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia kepada syarikat Pintas Utama Sdn Bhd.

Dengan itu, Izwan dengan curangnya mendorong lelaki itu untuk menyerahkan RM20,000 ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat SBR Consultant.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi sama kes pengubahan wang haram terbabit, pada 7 Februari dan 24 Mac 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi kesalahan menipu, pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa, ketika prosiding di hadapan Rozina dan Azura, memohon Izwan diikat jamin RM40,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan atas dua pertuduhan rasuah dan menipu.

Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd Anas di hadapan Suzana, pula mengesyorkan Izwan diikat jamin RM50,000 dengan syarat sama atas tuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Nur Faida Mohd Rashidee, meminta jaminan minimum bagi semua pertuduhan kerana anak guam sudah digantung kerja.

“Sekarang isteri tertuduh yang bekerja sebagai pelukis pelan di Syarikat Perunding Zaaba bergaji RM3,000 sebulan perlu menanggung tiga anak serta ibu bapa mereka,” katanya.

Ketiga-tiga hakim kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM53,000 terhadap tertuduh dengan syarat tambahan terbabit dan 20 dan 21 Mac serta 6 April ini untuk sebutan semula kes.

Loading...
Terkini