Tumpuan :
Mahkamah

Jurutera JKR mengaku tidak bersalah guna jawatan untuk dapat suapan RM158,440

Foto hiasan

BUTTERWORTH: Seorang jurutera wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan membabitkan kontrak bernilai RM158,440 pada enam tahun lalu.

Tertuduh, Mastura Ibrahim,41, memohon kesnya dibicarakan ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Jurutera Awam gred J48 di Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang telah menggunakan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Sebutharga dengan memilih Syarikat Rizwani di dalam Mesyuarat Perbincangan Jawatankuasa Sebutharga Bil 7/2018, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Hasilnya, syarikat berkenaan telah mendapat kerja-kerja pengubahsuaian ruang pejabat Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri serta lain-lain kerja yang berkaitan bernilai RM158,440.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JKR negeri pada 11 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, selain meminta tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap sebulan sekali.

Kes akan disebut semula pada 27 Januari tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini