comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jurutera perkapalan hadapi tuduhan bunuh pegawai PPD Kuala Krai

Tertuduh, Harun Narresat Ibrahim, 46, diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang jurutera syarikat perkapalan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan membunuh pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai.

Tertuduh, Harun Narresat Ibrahim, 46, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Artikel berkaitan: Lelaki direman seminggu bantu siasatan kes penjawat awam maut

Mengikut pertuduhan, Harun Narresat didakwa membunuh Tuan Mohd Salleh Tuan Ibrahim, 51, di Kedai Chicken Chop Cikgu dekat Machang, pada jam 11.30 pagi pada 3 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwa Raya Kelantan, Muhammad Zaki Abdul Kudos, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin.

Mahkamah menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia serta forensik.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Hubungan sulit dipercayai motif kematian penjawat awam

Media sebelum ini melaporkan, seorang penjawat awam maut selepas berlaku pergaduhan di hadapan sebuah premis di Kampung Cabang Sungai Hala.

Mangsa yang berusia 51 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di kedua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri.

Loading...
Terkini