comscore
Tumpuan :
Mahkamah

K Muniandy hakim kes pengubahan wang haram Rosmah

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir ke mahkamah bagi sebutan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, menggantikan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, bagi mendengar perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor, atas pertuduhan pengubahan wang haram RM7 juta dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Penukaran hakim itu dibuat berikutan Mohamed Zaini yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent, berkata perkara itu disahkan ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Muniandy hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn.

Tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan itu adalah pada 12 Mei, 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai, 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September ini.

“Sepatutnya 27 Julai ini pun ada bicara namun dilapangkan kerana peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Rosmah tidak dapat menghadirkan diri.

“Pihak pendakwaan ada 13 saksi dan kedua-dua pihak sudah bersedia dengan perbicaraan berkenaan,” katanya ketika dihubungi media.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 72, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan Seksyen 112 akta sama.

Sebelum ini, Rosmah dilaporkan menarik balik rayuan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapinya di Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan notis pemberhentian difailkan firma guaman, Tetuan Geethan Ram mewakili isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu pada 1 Mac lalu, Rosmah selaku perayu menarik balik rayuan difailkan melalui notis rayuan bertarikh 29 April 2022.

Sehubungan itu, rayuan itu disifatkan sudah ditolak mengikut peruntukan dalam Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim itu juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Loading...
Terkini