comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kartel perolehan TLDM, pegawai tentera, pemilik syarikat direman lima hari

 

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang pemilik syarikat yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kes sindiket kartel kerja perolehan melibatkan sebuah Kem TLDM, direman lima hari.

Perintah reman hingga 18 Februari terhadap lelaki berumur 42 dan 55 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Norkhalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ia bagi membolehkan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, kedua-dua individu itu yang memakai baju lokap SPRM tiba di Mahkamah Majistret kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi pegawai suruhanjaya itu.

Semalam, kedua-dua individu itu ditahan di Pejabat SPRM Johor  kira-kira pukul 4 petang.

Pada 19 Januari lalu, dilaporkan tiga lelaki berumur lingkungan 28 hingga 47 tahun yang dipercayai dalang kepada “kartel perolehan” melibatkan 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan kem terbabit turut direman tujuh hari hingga 25 Januari.

Reman bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 akta sama, sebelum ketiga-tiga mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut sumber, kerja pembinaan di kem berkenaan melibatkan jumlah nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta dengan pembayaran penuh telah dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini