SEREMBAN: Kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menunjukkan isyarat lucah kepada anak jirannya minggu lalu.
Tertuduh, V Poopathi, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh menunjukkan isyarat jari tengah kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 Januari lalu, jam lebih kurang 11.55 malam di sebuah rumah di Taman Sentosa, Gemas, Tampin.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(a) (i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017(Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum mahkamah bersetuju terhadap tawaran itu.
Mahkamah menetapkan 17 Februari untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.