KOTA BHARU: Seorang jururawat ditahan reman selama tujuh hari kerana dipercayai memberi susu kepada bayi lelaki berusia 30 hari sebelum mangsa didapati meninggal dunia di pusat jagaan berpantang, kelmarin.
Tempoh reman terhadap wanita berusia 22 tahun itu bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Media sebelum ini melaporkan, bayi lelaki berusia sebulan meninggal dunia di sebuah pusat jagaan berpantang, di sini, petang kelmarin.
Bayi berkenaan dikatakan tidak sedarkan diri, jam 5.30 petang, selepas diberikan susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, dilaporkan berkata mangsa di bawa ke Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) untuk rawatan dan disahkan sudah meninggal dunia.
Susulan kejadian itu katanya, polis menahan jururawat terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.