
TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh keputusan sama ada 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 hingga 22 Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu dalam prosiding semakan status hujahan pihak terlibat yang dijalankan secara dalam talian pagi ini.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan hujahan pada 24 dan 28 Januari lalu.
Bagaimanapun, beliau memohon tarikh baharu untuk memfailkan hujahan balas kerana beberapa peguam bela tertuduh mengemukakan hujahan lewat.
Mahkamah turut mengarahkan pihak pembelaan menyediakan pernyataan saksi anak guam masing-masing sebelum tarikh keputusan diumumkan.
Pada 9 Disember lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas 25 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan penuh yang bermula sejak 19 November.
Antara saksi pendakwaan yang dipanggil termasuk pengarah dan warden kolej, 10 pelajar yang juga rakan sebilik mangsa serta penghuni asrama, pakar patologi, pakar kimia, pakar forensik dan pegawai polis.
Prosiding perbicaraan berlangsung selama 12 hari.
Selain Nur Nisla, pasukan pendakwaan turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja terbabit diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.