comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Keputusan rayuan terhadap pembebasan Samirah, 2 remaja dituduh bunuh CEO Cradle Fund, esok

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, akan diketahui, esok.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim serta Datuk Azhahari Kamal Ramli, dijangka membuat keputusan berkenaan pada jam 2 petang.

Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga jam 4 pagi 14 Jun 2018.

Dalam prosiding rayuan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari berhujah, percikan darah pada dinding bilik yang terbakar di mana lokasi mayat Nazrin ditemui, adalah sepadan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa.

Beliau dipetik berkata, pegawai forensik Bukit Aman, Asisten Superintendan Nizam Hussain selaku saksi ke-39 pendakwaan, mengesahkan kesan darah dijumpai pada dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

Peguam bela Samirah dan dua remaja itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berkata, kematian Nazrin adalah tragis dan bukan pembunuhan.

Beliau berkata, pihak pembelaan menunjukkan bukti kukuh dan keterangan saksi yang menyangkal dakwaan kebakaran, penemuan petrol serta pelbagai elemen pertuduhan pembunuhan.

Peguam itu menegaskan, pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai, apatah lagi keterangan mengikut keadaan yang membawa kepada kesimpulan bahawa tertuduh melakukan pembunuhan.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 49, dan dua remaja terbabit yang kini berusia 18 serta 21 tahun.

Ab Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini