comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kerana lori, kakitangan JPJ didakwa dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah

Mahasan (memakai topi dan pelitup muka) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di Tawau hari ini. – FOTO : NSTP

TAWAU: Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, sebagai dorongan untuk melepaskan lori yang disita, tiga tahun lalu.

Tertuduh Mahasan Nordin, 36, tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan, selepas dibacakan pertuduhan pada prosiding di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Unit Sitaan, JPJ Cawangan Lahad Datu, secara rasuah menerima wang tunai sebanyak RM1,200 daripada seorang lelaki berusia 45 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan lori syarikat Sumbermas Trading.

Lori milik lelaki terbabit disita kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM1,200 daripada individu sama sebagai dorongan untuk melepaskan lori syarikat Sumbermas Trading milik lelaki terbabit yang disita kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPJ Cawangan Lahad Datu, di antara 3.20 petang hingga 4.00 petang pada 28 Februari 2020.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan RM5,000 didepositkan ke akaun mahkamah untuk semua pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan sekali dan passport antarabangsa diserahkan kepada Mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini