comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes 1MDB: Nasib Datuk Seri Najib Razak diketahui hari ini

Oleh: Siti Khadijah Jaafar & Nurul Amalina Zainudin.

KUALA LUMPUR: Selepas perbicaraan mengambil masa selama enam tahun setengah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan memutuskan sama ada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membela diri atau dibebaskan daripada 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dijadualkan membaca keputusan itu sekitar jam 9 pagi.

Sekiranya pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie, beliau hendaklah membela diri terhadap semua tuduhan berkenaan, dan mahkamah sama akan membuat keputusan sama ada tertuduh bersalah atau tidak, di akhir kes pembelaan.

Jika mahkamah memutuskan sebaliknya, bekas Presiden UMNO dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

30 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun, bermula 28 Ogos 2019.

Antara saksi utama yang dipanggil termasuk bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

Datuk Seri Najib didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 September 2018.

Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018.

Datuk Seri Najib, 71 tahun menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bekas menteri kewangan itu berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dairpada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Sementara itu, di luar perkarangan mahkamah, puluhan penyokong Datuk Seri Najib dilihat mula berkumpul bagi memberi sokongan moral kepada beliau.

Keadaan bagaimanapun masih terkawal dengan pemantauan anggota RELA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini