comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes bekas pensyarah, kontraktor dikaitkan dengan kumpulan IS ditangguh 20 Oktober

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menetapkan 20 Oktober depan bagi sebutan semula kes seorang bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang kontraktor yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas IS.

Hakim Hazelia Mohammad menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang sebelum itu memaklumkan masih menunggu beberapa lagi laporan pakar.

Menurut pihak pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail, antara laporan yang masih belum diterima ialah laporan forensik, laporan lengkap ideologi, beberapa laporan terhadap buku-buku fizikal yang dimiliki tertuduh, laporan perbualan WhatsApp dan laporan video.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes ke tarikh baharu itu dan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebaik semua dokumen lengkap diterima pihak pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh, Abdullah Daud, 70, dan Mohamad Awang, 48, tiba di Kompleks Mahkamah di sini, dengan kawalan ketat pihak polis pada jam 8.30 pagi.

Abdullah yang kelihatan uzur kemudian dibawa menaiki kerusi roda daripada lokap mahkamah ke bilik mahkamah di tingkat lima.

Pada 21 Julai lalu, Abdullah didakwa menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanam fahaman ideologi keganasan berkaitan kumpulan pengganas IS serta memiliki dua buku bertajuk Hakikat Dienul Islam dan Tarbiyah Jihadiyah yang juga bahan berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Warga emas itu turut didakwa memiliki dua buku digital dan dua video bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbitnya selain membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya untuk menyokong aktiviti keganasan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Melayu Kangkar Pulai di sini, antara 3 September 2023 hingga 28 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Manakala, Mohamad didakwa memiliki bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Daya di sini, jam 7.05 pagi, 23 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini