KUALA LUMPUR: Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menekap seterika pada tubuh pelatih junior tiba di kompleks mahkamah di sini, 9.47 pagi tadi.
Suspek yang berkemeja putih dan bergari tiba di mahkamah di sini, dengan diiringi anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Difahamkan, pegawai kadet berkenaan akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan, dalam kejadian 11.45 malam, 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.
Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.
Mangsa membuat laporan polis pada 1 November, dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Laporan lanjur menyusul.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.