comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ambil dadah : Pegawai Cawangan Khas diarah bela diri  

Roslan (baju putih) diarah membela diri atas pertuduhan mengambil dadah, tiga tahun lalu. – Foto NSTP

SEREMBAN: Seorang Inspektor polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan diarah membela diri di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengambil dadah, tiga tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh memerintahkan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan ke atas tertuduh, Roslan Sam, 43.

Mohd Firdaus berkata, mahkamah meneliti fakta kes, ekshibit dan keterangan saksi dengan mengguna pakai prinsip penilaian maksimum, sebelum tertuduh diberikan tiga pilihan iaitu memberikan keterangan bersumpah, keterangan tidak bersumpah dan berdiam diri.

“Kalau memilih berdiam diri, mahkamah sedia menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh,” katanya pada prosiding kes, hari ini.

Peguam tertuduh, Haresh Mahadevan memilih memberikan keterangan bersumpah dari kandang tertuduh dengan memanggil dua saksi pendakwaan iaitu seorang anggota polis, Koperal Shahril Amri dan orang awam, Ong Boon Hoe.

Tertuduh akan dipanggil membela diri pada 23 dan 24 Mei depan.

Menurut Haresh, setakat ini tujuh saksi sudah dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan kes bermula tahun lalu, manakala pertuduhan dibuat pada Mac 2021.

Roslan didakwa mengguna, memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu sejenis ketamin, emphatamin, methamphetamin, methylenedioxy- emphatamin dan methylenedioxy-methamphetamin.

Kesalahan dilakukan jam 3 pagi di Pejabat Narkotik ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini pada 27 September 2020 mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Loading...
Terkini