KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan termasuk melakukan aktiviti keganasan dengan mengancam untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Mahadi Mamat, 39, di akhir kes pembelaan.
“Mahkamah mendapati walaupun tertuduh mempunyai skizofrenia atau gangguan mental, tertuduh waras semasa melakukan kesalahan tersebut.
“Oleh demikian, pihak pendakwaan berjaya membuktikan di luar keraguan munasabah terhadap kelapan-lapan pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh,” katanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan ketujuh, hukuman penjara enam tahun untuk pertuduhan keempat manakala hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan kelima, keenam serta kelapan.
Semua hukuman itu diperintahkan berjalan secara serentak dari tarikh tangkap pada 5 Mei 2019.
Hakim Noorin dalam penghakimannya berkata mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh gagal membuktikan ‘legal insanity’ (tidak sempurna akal mengikut undang-undang) selain berpuas hati dengan keterangan yang diberikan saksi pembelaan kedua Dr Ian Llyod Anthony berkaitan keadaan mental tertuduh.
Selain itu, Hakim Noorin berkata tertuduh telah menyembunyikan senjata dan bom paip dalam tanah serta kebun yang mana ia jelas menunjukkan tertuduh mengetahui apa dilakukannya.
“Setelah meneliti mesej WhatsApp dengan ahli-ahli kumpulan ‘Sejati Sejiwa’, saya mendapati tertuduh faham dan tahu akibatnya selain melihat cara tertuduh memujuk ahli-ahli kumpulan WhatsApp untuk bersama-sama beliau,” katanya.
Terdahulu peguam Farida Mohammad yang mewakili Mahadi berkata pihaknya memohon hukuman ringan dengan mengambil kira isteri tertuduh yang mempunyai Sistematik Lupus Eritematosus (SLE) tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sebelum ditangkap anak guamnya hanya bekerja di kebun kelapa sawit.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh sendiri.
“Hasil daripada tunjuk arah tertuduh menemukan pistol dan paip bom. Ini menunjukkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh,” katanya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Counter Terrorism Bahagian E8 Cawangan Khas Bukit Aman dan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, kira-kira 5.45 petang, 7 Jan 2019 dan 5 Mei 2019, pukul 9.48 malam. -BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa