Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.34 pagi tadi.
Pasangan itu akan didakwa hari ini dengan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan membabitkan kes pecah amanah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu yang berjumlah RM43.9 juta.
Selasa lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM menahan pasangan berkenaan dan diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah untuk pendakwaan.
Pada 28 November lalu, kertas siasatan membabitkan kerugian pelaburan itu sudah dilengkapkan SPRM sebelum diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
Terdahulu, SPRM mengesan kewujudan beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.
Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu.
SPRM dilaporkan turut merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
29 Oktober lalu, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.