comscore
Tumpuan :
Kes

[VIDEO] Kes Jana Wibawa : Wan Saiful cadang kemuka representasi

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes tuduhan berkaitan Jana Wibawa. – FOTO: NSTP

Oleh Zainur Khairul Zainurin

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta  berkaitan projek Jana Wibawa mungkin mengemukakan representasi untuk menyemak tuduhan itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam beliau, Datuk Rosal Azimin Ahmad semasa sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Rosal Azimin berkata,  keputusan mengenai representasi itu bagaimanapun bergantung kepada dokumen bank berkaitan kes yang akan diberikan pihak pendakwaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata  sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Bagaimanapun, sebahagian lagi dokumen-dokumen lain seperti dokumen bank dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diserahkan nanti. Oleh itu, pihak kami mohon masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

Hakim menetapkan sebutan semula kes 8 Mei depan.

FOTO: NSTP

Sebelum itu, Hakim menegur Wan Saiful  kerana lewat tiba di mahkamah dan diingatkan supaya tidak mengulanginya.

Tertuduh memohon maaf dan memberitahu mahkamah beliau telah keluar rumah pada 7.15 pagi, namun tidak menyangka perjalanan mengambil masa selama dua jam.

“Ia mengambil masa hampir 2 jam untuk sampai ke sini dan saya tidak sangka trafik hari ni sangat teruk,” kata Wan Saiful.

Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Dia juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik  Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, di antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Dakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan  maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000  yang lebih tinggi.

Loading...
Terkini