comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes kematian menantu Zahid, klinik gigi kekal didenda RM220,000

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini, memutuskan pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd, kekal didenda RM220,000 mengikut keputusan Mahkamah Tinggi, dua tahun lalu.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu terhadap pusat berkenaan, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang juga menantu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf menjatuhkan hukuman.

Hanipah berkata, rayuan dibuat tidak bermerit berdasarkan penelitian dan pembacaan hujahan daripada pihak pembelaan pusat rawatan itu serta pendakwaan.

“Sabitan (denda RM220,000) ke atas perayu adalah selamat dan berdasarkan prinsip penghukuman, denda dijatuhi oleh hakim terbabit adalah tidak terlampau.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan dan rayuan ditolak. Terima kasih atas hujahan bertulis dan lisan oleh pihak berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, berkata rayuan bagi membolehkan campur tangan keputusan hukuman itu dibuat tanpa merit.

“Tiada kekhilafan atau tersalah arah oleh mahkamah bijaksana sebelum ini berhubung dapatan yang dibuat terhadap sabitan serta hukuman itu,” katanya.

Bagaimanapun, peguam pusat pergigian itu, Raja Eileen Soraya Raja Aman, berkata anak guam wajar dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan itu.

“Kami berhujah klinik berkenaan mengambil langkah bagi memastikan pekerjanya tidak didedahkan dengan peralatan perubatan yang berbahaya,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mahkamah Sesyen menjatuhkan denda RM320,000 terhadap pusat pergigian itu selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain yang juga suami anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, premis itu sebagai pemegang lesen didakwa gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi, 26, berkelayakan menjalankan prosedur radiologi terhadap Syed Alman Zain.

Bagi pertuduhan kedua, pusat itu didakwa sebagai pemegang lesen didapati gagal menyimpan dan menyenggarakan ‘Daftar Kakitangan’.

Pertuduhan ketiga pula, premis itu dituduh gagal menyediakan langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan bekalan oksigen.

Bagi pertuduhan keempat, pusat berkenaan didakwa gagal mengemukakan salinan semua rekod perubatan pesakit kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menerima pemindahan kecemasan pesakit terbabit.

Bagi pertuduhan kelima, pusat itu didakwa gagal mengambil langkah mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Semua perbuatan itu dilakukan di klinik di Jalan Telawi, Bangsar Baru di sini, antara jam 6 petang hingga 9.05 malam, 26 Mei hingga 2 Jun 2016.

Bagaimanapun, pusat pergigian berkenaan dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan kedua hasil rayuan di Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2020, menjadikan denda dikurangkan daripada RM320,000 ke RM220,000.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2017, seramai 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada 5 April 2018, mahkamah memerintahkan pusat itu membela diri atas lima pertuduhan daripada sembilan pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah melepas dan membebaskan pusat itu atas empat pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini