
JOHOR BAHRU: Pemandu kereta BMW yang diburu polis kerana melarikan diri selepas melanggar sebuah Perodua Aruz, didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Christopher Lim Ka Hen, 27, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid selepas pertuduhan dibacakan.
Kejadian itu menyebabkan pemandu Aruz berkenaan patah tangan.
Tertuduh yang juga pekerja khidmat pelanggan, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa memandu kenderaannya tanpa pertimbangan munasabah di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Danga-Jalan Nusa Bestari di sini, jam 3.10 pagi, 17 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu ditanda oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan masih bujang dan mempunyai ibu bapa, walaupun tidak menjaga mereka.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu serta memerintahkan lesen memandu tertuduh ditanda oleh mahkamah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.