comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes rasuah babitkan Muhyiddin dikembalikan ke Mahkamah Sesyen

Muhyiddin hadir bagi pendengaran permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu. -Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta yang dihadapi Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan rasuah terbabit.

Turut bersidang, Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi BERSATU.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ia susulan empat pertuduhan itu dikatakan tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan menamakan pendakwaan sebagai responden.

Muhyiddin memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023 dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan itu adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Ia berikutan didakwanya, tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini