comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes saman fitnah Che Ta Pot Pet – Iddin Syah, selesai secara damai 

GEORGE TOWN: Kes saman fitnah usahawan kosmetik Rozita Baharom terhadap pempengaruh media sosial, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi, diselesaikan secara baik selepas Iddin memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ketika membacakan permohonan maafnya, Iddin 29, turut bersetuju dengan jumlah wang RM150,000 yang menjadi pertikaian antara kedua belah pihak sebelum ini dianggap telah selesai.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada Rozita Baharom dan Syarikat Secret Desire Skincare Sdn Bhd di atas keterlanjuran mengeluarkan kata-kata kesat.

“Saya juga bersetuju writ saman yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Butterworth ditarik balik,” katanya yang diwakili peguam Rafique Rashid dan Akif Rusli.

Hakim Datuk P Anand sebelum merekodkan penghakiman persetujuan itu sempat mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak termasuk peguam-peguam mereka kerana berjaya menyelesaikan kes itu secara damai.

Anand turut membenarkan writ saman yang difailkan Iddin di Mahkamah Sesyen Butterworth pada tahun lalu dibatalkan tanpa kos.

“Terima kasih, kedua-dua kamu telah melihat dalam diri sendiri dan dapat menyelesaikan perkara ini secara damai. Ini bulan mulia, Ramadan.

“Kamu berdua juga sebagai pempengaruh media sosial dan juga ahli perniagaan yang masing-masing ada pengikut. Jadi bagus ‘move on’ dan lakukan lebih baik untuk masa depan,” katanya.

Terdahulu, Peguam, K Mahendran yang mewakili Rozita berkata, defendan telah bersetuju membuat hantaran memohon maaf maaf menerusi video yang akan dimuat naik di laman Facebook, Instagram dan TikTok dengan segala kata-kata yang diterbitkan kekal selama 10 hari bermula hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua belah pihak juga bersetuju untuk tidak memanjangkan lagi isu berkaitan selain akan menurunkan apa jua penerbitan yang menjadi subjek kepada tuntutan tersebut.

Sejurus tamat prosiding Rozita, 37, yang turut ditemani ibu bapanya dilihat menangis di luar mahkamah sambil dipeluk dan ditenangkan rakan-rakannya.

Dia ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, tangisan itu merupakan air mata kesyukuran setelah menanti hampir setahun untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Hampir setahun saya menanti saat ini. Impaknya sangat besar bagi saya. Kita pun tidak mahu lagi memanjangkan isu ini. Alhamdulillah hari ini dapat kata putus di antara kedua belah pihak yang memudahkan segalanya.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak defendan kerana sama-sama melancarkan keputusan mahkamah ini,” katanya.

Sementara itu, Iddin Syah meluahkan rasa lega kerana kes membabitkan dirinya dengan Rozita telah selesai dan apa yang lebih penting buat dirinya pada ketika ini adalah memberi tumpuan kepada perniagaan.

“Alhamdulillah, fokus saya ialah ingin memajukan perniagaan dan memberi tumpuan kepada masa depan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua,” katanya.

Media pada 22 Ogos lalu melaporkan Rozita memfailkan saman fitnah sebanyak RM16 juta terhadap Muhammad Iddin Syah di Mahkamah Tinggi berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini