BATU PAHAT: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan Isnin depan bagi sebutan semula kes membabitkan tujuh individu termasuk tiga wanita warga asing yang berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dan memiliki lebih lima kilogram dadah di sebuah apartment, Ogos lalu.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan belum menerima laporan kimia.
Terdahulu, pihak pembelaan terdiri Tan Song Yan dan Gan Hsien Yang mempersoalkan kelewatan itu berkata, sepatutnya laporan kimia boleh tersedia dalam tempoh 30 hari menurut piawai atau piagam Jabatan Kimia.
“Sepatutnya laporan terbabit boleh disiapkan dalam tempoh berkenaan namun sehingga kini belum ada apa-apa laporan. Anak guam kami sudah ditahan lebih 90 hari,” hujahnya.
Susulan itu, mahkamah meminta pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip mencari penyelesaian bagi mendapatkan penjelasan dengan Jabatan Kimia.
Mahkamah turut memberitahu, arahan kepada pihak pendakwaan memandangkan ia tidak terikat berhubung kelewatan laporan terbabit (atas kelewatan dalam proses penyediaan laporan kimia yang telahpun mengambil masa tiga bulan).
Terdahulu, kesemua tertuduh iaitu Lim Hon Yin, 34, selaku tertuduh pertama, Lee Woei Shyang, 38, (tertuduh kedua); Chu Zhang Quang, 49 (ketiga); Kerk Jason, 32 (keempat); Jirpron Chimpakdee, 25, (kelima); Ngoc Anh Truong, 24, (keenam) dan Palita Soparak, 24, (ketujuh) dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah jenis 3,4 methylenedioxy methampethamin (MDMA) dengan berat kasar 5,134 gram (g) dan 108.49g, di sebuah kondominium Hillview Loft, Taman Istana, di sini, jam 7 malam, 1 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang dibacakan bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Pertuduhan ketiga dan keempat pula, mereka mencapai niat bersama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin berat kasar 96.46g dan nimetazepam, 15.41g dengan kedua-dua kejadian ini berlaku pada tempat, tarikh dan waktu sama.
Untuk pertuduhan ini, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen ini ialah denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada prosing itu, Hon Yin, Woei Shyang dan Ngoc Anh Truong diwakili Song Yan sementara Zhang Quang dan Kerk Jason diwakili Hsien Yang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.