comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes tuntutan harta RM2 bilion balu Jamaludin Jarjis ditangguh sementara

Balu kepada bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail keluar dari mahkamah selepas status cadangan penyelesaian kes harta sepencarian berjumlah RM2 bilion terhadap harta pusaka suaminya ditangguhkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan isteri Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail ditangguhkan sementara menunggu permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar mewakili ibu mentua Kalsom, Aminah Abdullah berkata mahkamah memutuskan demikian pada 24 November tahun lalu selepas Kalsom memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang memutuskan kes itu perlu diteruskan dengan perbicaraan.

“Permohonan semakan itu difailkan plaintif (Kalsom) pada Oktober tahun lalu atas alasan terdapat persetujuan penyelesaian membabitkan tuntutan harta itu daripada pihak-pihak terbabit,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Shukor Abd Hamid yang berlangsung dalam kamar hari ini.

Mengenai prosiding hari ini, Nur Hidayah berkata Abdul Shukor menetapkan 14 Mac depan untuk pihak yang terbabit memaklumkan perkembangan permohonan semakan itu.

Pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan kes itu diteruskan dengan perbicaraan selepas pihak-pihak berkenaan gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu.

Ibu Tan Sri Jamaludin Jarjis, Aminah Abdullah

Kalsom, 68, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018 dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla serta Aminah adalah defendan pertama hingga kelima.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun bersama lima lagi maut apabila helikopter dinaiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Mereka yang terkorban termasuk juruterbang Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Loading...
Terkini