comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kilang tayar terpakai didenda RM60,000

Foto hiasan

SEREMBAN: Sebuah kilang tayar terpakai didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati melakukan kesalahan dan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon, berkata kilang terbabit yang beroperasi di Lot 2794, Kampung Haji Sulaiman, Panchang, Rembau, dekat sini, dikesan menjalankan aktiviti mencemar alam sekitar.

Katanya, Hakim Diana Md Razali menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas setiap pertuduhan dihadapinya.

“Pertuduhan pertama membabitkan peraturan Seksyen 34A AKAS 1974 iaitu tiada laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi aktiviti pyrolysis tayar terpakai.

“Pertuduhan kedua pula berkaitan Peraturan 5(1)(c), PPKAS (UB) 2014 iaitu tiada notifikasi bagi kebuk pembakaran.

“Sementara pertuduhan ketiga berkaitan Peraturan 7(1), PPKAS (UB) 2014 iaitu tiada Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) yang dipasang. Semua kesalahan dilakukan syarikat terbabit pada 28 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, JAS Negeri Sembilan akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

“Penduduk di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar melalui portal e-aduan.doe.gov.my (https://[email protected]) atau hubungi talian bebas 1-800-88-2727,” katanya.

Loading...
Terkini