comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kontena terbang: Dalang warga Singapura direman

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dalang kes ‘kontena terbang’ atau kontena lari cukai melibatkan ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang, Selangor.

Suspek warga Singapura itu ditahan kerana disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang yang diimport oleh syarikat-syarikat milikannya untuk tidak dikenakan bayaran cukai.

Sumber berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024. Siasatan awal mendapati wang tersebut telah diberikan secara tunai kepada semua pegawai penguat kuasa.

“Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi bagi permohonan reman.

Perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 30 Jun ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, media melaporkan, SPRM mengesan lebih 100 syarikat disyaki terbabit sindiket ‘kontena terbang’ yang merasuah pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, syarikat berkenaan adalah ejen penghantaran (forwarding agent) yang bertindak sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata, ia susulan penahanan 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang yang ditahan menerusi operasi khas baru-baru ini.

Hasil siasatan setakat ini, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini