comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kontraktor Didakwa Kemuka Dokumen Palsu

ALOR SETAR: Seorang kontraktor wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memperdaya pihak bank dengan mengemukakan dokumen palsu untuk memohon pembiayaan yang diluluskan berjumlah RM200,000.

Nor Syatillah Abd Aziz, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Tertuduh didakwa memperdaya pihak bank dalam permohonan pembiayaan apabila mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan mendapatkan pinjaman.

Pembiayaan berjumlah RM200,000 itu diluluskan pihak bank dan wang itu dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 petang, 12 Februari 2020 di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang.

Berikutan itu, tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syaliati Mohd Sobri, manakala tertuduh diwakili peguam Izatul Sazrin Muhd Zin.

Nor Syaliati meminta mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM30,000 namun Izatul memohon jumlah itu dikurangkan berikutan Nor Syatillah adalah ibu tunggal yang masih menyara anak kecil.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh dan tarikh sebutan semula kes pada 19 Oktober depan.

Tertuduh membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini