comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] ‘Kontraktor palsu’ didakwa gagal patuhi TTPM

FOTO: NSTP

SEREMBAN: Kontraktor palsu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada dua individu masing-masing berjumlah RM25,000 bagi tujuan membina rumah tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Orang Kena Saman (OKS), Siti Norainah Baharin, 31, yang juga Pengarah Syarikat Ena Ezam Enterprise didapati gagal selepas 14 hari dari tarikh award diserahkan untuk mematuhi award TTPM bertarikh 17 April tahun lalu, iaitu perlu membayar RM25,000 kepada seorang lelaki berusia 31 dan 34 tahun yang menuntut dalam tuntutan itu.

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Jun 2023 di sebuah rumah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, Melaka.

Berikutan itu tertuduh didapati telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan berterusan, boleh sebagai tambahan kepada penalti di bawah subseksyen (1), didenda tidak kurang daripada RM100 dan tidak melebihi RM5,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Loading...
Terkini