comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kontraktor rumput tiruan didakwa tawar geran tak wujud

Kontraktor rumput tiruan, Muhamad Syafiq Harun (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menipu seorang wanita bagi mendapatkan geran bantuan usahawan yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu. Foto NSTP/ Azrul Edham

SEREMBAN: Kontraktor rumput tiruan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita bagi mendapatkan geran bantuan usahawan yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Syafiq Harun, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati dengan curangnya menipu seorang wanita berusia 43 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan geran SME Corp untuk perniagaan yang dijalankan mangsa.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh telah meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak 14 transaksi berjumlah RM310,500 ke dua akaun bagi mendapatkan geran berkenaan.

Wanita itu tidak akan membuat transaksi wang berkenaan sekiranya tidak diperdaya tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis perniagaan di Bandar Primas Senawang, di sini, pada 19 Januari 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir mencadangkan wang jaminan sebanyak RM30,000 bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya ikat jamin sebanyak RM3,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

11 September depan ditetapkan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Loading...
Terkini