KUALA LUMPUR: Seorang ibu dan rakannya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki.
Wanita berusia 20 tahun itu dan rakannya Adibah Mohd Zaini, 35, didakwa melakukan penganiayaan terhadap mangsa dengan cara memasukkan mangsa ke dalam sangkar kucing pada 10 Februari lalu di Residensi Desamas, Taman Danau Desa di sini ketika kanak-kanak lelaki itu berusia tiga tahun enam bulan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dikenakan sebagai pengajaran atas alasan tahap serius perbuatan yang dilakukan terhadap mangsa.
“Saya memohon mahkamah ini mempertimbangkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan dan mengambil kira fakta tertuduh adalah ibu kandung mangsa di mana rasa tanggungjawab untuk memelihara kanak-kanak itu daripada bahaya gagal dilaksanakan,” katanya.
Ketika rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui sudah menginsafi kesalahan dan menyesal dengan perbuatan mereka.
Adibah merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan berbentuk denda terhadapnya atas alasan dia mempunyai dua orang anak berusia 11 tahun dan satu tahun.
“Hanya suami saya yang bekerja, anak sulung saya masih bersekolah tidak ada sesiapa menjaganya di rumah dan anak saya yang berusia satu tahun kini dijaga oleh ibu saya yang tidak berapa sihat,” katanya.
Sementara itu tertuduh kedua yang juga ibu kandung mangsa merayu hukuman ringan dikenakan tanpa memberikan apa-apa alasan.
Hakim Siti Shakirah Datuk Wira Mohtarudin memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini.
“Kedua-dua tertuduh juga dikenakan hukuman tambahan iaitu bon berkelakuan baik selama lima tahun dan jamin RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin selain mereka diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Sementara itu, wanita yang bekerja di sebuah restoran makanan segera itu turut dikenakan penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan penganiayaan ke atas anaknya dengan menggunakan pita pelekat selotip.
Ketika prosiding Nidzuwan memohon hukuman berbentuk pemenjaraan kerana keseriusan kesalahan dan mengambil kira fakta kes.
“Menurut fakta kes, tertuduh melilitkan pita pelekat selotip kepada mangsa sehingga mangsa tidak dapat menggerakkan tangan dan kaki tidak ubah seperti seorang mumia,” katanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berjalan serentak bermula hari ini berserta hukuman tambahan.
Bagi pertuduhan ini, tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dan jamin RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin selain perintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.
Pada Isnin, media melaporkan seorang ibu muda memberitahu mahkamah dia terpaksa mengurung anaknya di dalam sangkar di bahagian dapur rumah rakannya kerana pergi bekerja.
Tertuduh bersama Adibah dan seorang lagi rakan mereka, Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 23 dijatuhi hukuman penjara 14 hari bermula Isnin lalu selepas mereka mengaku bersalah menganiaya mangsa yang sama dengan menendang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di lokasi yang sama pada jam 1.40 tengah hari hingga 1.45 tengah hari, 23 Februari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.