Tumpuan :
Mahkamah

Lapan pelajar sekolah agama swasta didakwa cederakan tiga pelajar

Foto hiasan

KUALA PILAH: Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah agama swasta didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan tiga pelajar lain di Rembau, bulan lalu.

Empat daripada juvana berusia 15 tahun itu mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun manakala seorang lagi berusia 16 tahun mengaku bersalah.

Dua pelajar berusia 17 tahun pula mengaku bersalah atas kesalahan mencederakan seorang pelajar lain berusia 15 tahun.

Seorang lagi tertuduh yang berusia 17 tahun, mengaku salah atas pertuduhan sama ke atas pelajar lelaki lain berusia 15 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka pada 16 Oktober lalu antara jam lebih kurang 1 pagi hingga 5.30 petang di asrama sebuah sekolah agama swasta di Rembau.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga setahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing termasuk Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfazrin Jamal.

Majistret Saiful Sayoti kemudian membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan akhlak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini