comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lapan sahabat dituduh lakukan rompakan berkumpulan

KUALA TERENGGANU: Lapan sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan mencederakan seorang lelaki yang dipercayai berpunca akibat hutang.

Kesemua tertuduh, Ahmad Zikri Che Ali, 41, Isa Ali, 24; Asyraaf Arifin, 24; Mohamad Zulkifli Mohamad Amin 18; Mohamad Haikal Mohd Ismadairuz, 18; Mohd Rizwan Awang, 36; Mohamad Tarmimi Iskandar Embong, 31; dan Muhammad Arif Shafiq Shafie, 24; membuat pengakuan itu selepas  pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Lapan sahabat dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan mencederakan seorang lelaki.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama-sama dua orang yang masih bebas didakwa dengan sengaja melakukan rompak berkumpulan terhadap Muhammad Hafiy Mat Rani, 25.

 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Durian Burung di Kuala Terengganu antara jam 1 hingga 4 pagi pada 22 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan menggunakan senjata terhadap mangsa dengan memukul menggunakan sebilah pisau, topi keledar, mercun bola dan pisau cukur di bahagian kepala dan badan.

Kesalahan dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan.

Mahkamah menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Loading...
Terkini