comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Bebas Sabitan Tuduhan Memiliki, Menanam 12 Pokok Ganja

TAWAU: Seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan atas pertuduhan memiliki dan menanam 12 pokok ganja dua tahun lalu, terlepas hukuman itu selepas rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen diterima Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Dr Lim Hock Leng yang membenarkan rayuan Azril Surash Masree Samy, 45, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Azril didakwa memiliki dan menanam 12 pokok ganja di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mega Ria, Batu 3, Jalan Air Panas, dekat sini, kira-kira 5.30 pagi pada 3 Ogos 2020.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6B(3) akta sama.

Mahkamah Sesyen pada 27 Januari lalu memerintahkan Azril menjalani hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan memiliki dan menanam 12 pokok ganja sebelum mengemukakan rayuan pada hari sama.

Pada prosiding hari ini, Azril diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd Amin Jaafar dan Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah Jaafar manakala Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain mewakili pihak pendakwaan. – Harian Metro

Loading...
Terkini