comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki cuba rampas senjata anggota polis dituduh halang tugas penjawat awam

Supramaniam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas sentri di Balai Polis Dato Keramat, Ahad lalu.

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang penjaga parkir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas sentri di Balai Polis Dato Keramat, Ahad lalu.

Tertuduh, Supramaniam, 35 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang Lans Koperal berusia 25 tahun dalam menjalankan tugasnya sebagai anggota sentri di perkarangan balai berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 pagi, 19 Mei lalu di perkarangan Balai Polis Dato Keramat dalam Daerah Timur Laut.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tidak boleh mendekati atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Jun depan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas cuba merampas senjata jenis HK MP5 milik anggota polis di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat Ahad lalu kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam balai di bawah pengaruh alkohol dan memaki hamun anggota terbabit dengan kata kesat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata lelaki berusia 35 tahun itu direman selama empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama.

Suspek yang negatif dadah itu turut disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini