comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki curi beg tangan wanita hamil dipenjara 8 bulan, denda RM1,500

Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang operator kilang dijatuhi hukuman lapan bulan penjara dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri beg tangan seorang wanita di tandas sebuah pasar raya di Seksyen 23 dekat sini, pada 29 April lalu.

Hukuman itu diputuskan oleh Majistret Farah Rosnan.

Tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 22 sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman tambahan tiga bulan penjara.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mangsa yang juga operator kilang berusia 37 tahun dan anak dalam kandungannya berada dalam keadaan stabil.

Katanya, setakat ini mangsa yang sarat mengandung sembilan bulan itu belum lagi melahirkan anak.

“Keadaan ibu dan anak dalam kandungan adalah stabil dan telah dibenarkan pulang ke rumah terlebih dahulu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri beg tangan seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan, di dalam tandas sebuah pasar raya di Seksyen 23, di sini.

Mohd Iqbal berkata siasatan mendapati insiden berlaku ketika mangsa pergi ke pasar raya berkenaan seorang diri untuk membeli barang persiapan bersalin.

Mangsa kemudian masuk ke tandas sebelum menyedari beg tangannya yang disangkut pada pintu tandas, dilarikan.

Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan menjerit meminta tolong.

Orang ramai yang berada di sekitar lokasi itu telah mengejar dan menangkap suspek lalu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini