Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki curi kabel, ugut pakai gunting dipenjara 29 bulan, 1 sebatan

Azreen Kusai yang cedera selepas kemalangan, dipenjara 29 bulan serta satu sebatan kerana ugutan jenayah dan curi kabel. FOTO NSTP

BATU PAHAT: Pengait kelapa sawit dihukum penjara 29 bulan dan satu sebatan dalam keadaan kepala dan tangan berbalut akibat terjatuh motosikal ketika melarikan diri daripada dikejar orang awam selepas mencuri kabel elektrik selain mengugut mangsa.

Azreen Kusai, 42, yang berhadapan dua pertuduhan itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass di Mahkamah Majistret Yong Peng, semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa dua anak itu didakwa mencuri dua gulung kabel milik lelaki berusia 25 tahun di sebuah kedai perkakas rumah, Taman Sri Sulong, di sini, 8.30 malam, 24 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia melakukan ugutan jenayah terhadap individu sama menggunakan gunting dengan semua kejadian berlaku pada tarikh, waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 506 yang mana kedua-duanya memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan siasatan polis, tertuduh melarikan dua gulung kabel elektrik dengan menunggang motosikal serta mengacu gunting ke arah mangsa.

Bagaimanapun, motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan sebelum orang awam menahannya dan diserah kepada polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini