Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita warga emas, yang juga makciknya.
Tertuduh Lee Hao Yi, 21 didakwa menyebabkan kematian Lee Huey Ting, 52 itu antara 6 November jam 1.00 pagi, hingga 10 November jam 8.25 pagi bertempat di sebuah rumah di Taman Puteri Bintang.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan laporan bedah siasat daripada forensik.
Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita ditemukan di sebuah rumah di Ipoh dipercayai maut akibat ditumbuk berkali-kali oleh anak saudaranya yang hilang sabar kerana sering dikongkong.
Suspek dikatakan menumbuk mangsa berkali-kali sehingga terjatuh tangga dan mengurung wanita itu selama empat hari di sebuah bilik.
Kejadian itu terbongkar apabila adik mangsa mencari mangsa yang sudah beberapa hari tidak kelihatan menemukan mayat membusuk di dalam bilik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.