comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki didakwa cabul 2 anak saudara

Foto: NSTP

 

KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencabul dua anak saudara perempuan, minggu lalu.

Tertuduh berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa berusia 22 tahun di sebuah rumah di Kampung Marak Banggu, di sini, jam 4.30 petang, pada 16 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap mangsa lain berusia 20 tahun di sebuah rumah tanpa nombor di lokasi sama pada jam 3 pagi, 18 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Ariyani Mohd Aamin.

Terdahulu, Syazalia mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Ariyani memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini