comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki didakwa menyamar pegawai tinggi SPRM dan tipu pegawai polis

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyamar sebagai pegawai tinggi SPRM dan menipu seorang pegawai kanan polis membabitkan nilai kerugian RM49,300, pada Jun tahun lalu.

 

Tertuduh, Aries Ryan Philip Among, 30, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Jason Juga.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja sendiri itu memperdaya seorang pegawai kanan polis berumur 60 tahun untuk mempercayai tertuduh sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11.46 pagi 24 Jun 2023.

Perbuatan tertuduh mendorong pegawai polis itu memasukkan wang sebanyak RM8,000 ke dalam akaun milik seorang lagi penama lain untuk sumbangan lembu korban.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh sekali lagi memperdaya pegawai polis sama dan menyamar sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 11.22 pagi 30 Jun tahun lalu.

Tindakan tertuduh juga mendorong pegawai kanan polis itu memasukkan wang sebanyak RM27,000 ke dalam akaun milik seorang penama lain untuk sumbangan menghadiri konvokesyen anak Ketua Pesuruhjaya SPRM di Sydney, Australia.

Pegawai kanan polis itu sekali lagi memasukkan wang sebanyak RM14,300 ke dalam akaun lain untuk tujuan pinjaman pada hari sama.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, tertuduh juga berdepan dua pertuduhan altenatif mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 beserta deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan tanpa gagal.

Pasport antarabangsa tertuduh juga perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwaraya, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Amirul Amin.

Loading...
Terkini