
PETALING JAYA: Seorang pekerja pasar malam dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri 597 karton susu bernilai RM22,000.
Majistret Amira Sariaty Zainal menjatuhkan hukuman itu terhadap bapa kepada anak tiga, Hamim Heji, 34, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama dua lagi individu yang belum didakwa mencuri dalam bangunan iaitu 261 karton Susu Coklat satu liter dan 336 karton Susu Full Cream satu liter bernilai RM22,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kilang susu di Jalan Prof Khoo Kay Kim di sini, antara jam 4.51 pagi, 1 Julai dan jam 4.43 pagi, 22 Julai 2023.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman, penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M.Soosai Raj merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum dengan alasan perlu menjaga isteri dan anak berusia tujuh, lima dan tiga tahun.
“Dia hanya membantu rakannya berniaga di pasar malam, malah pendapatannya sebanyak RM900 sebulan digunakan untuk menyara keluarga.
“Saya mohon dia hanya dihukum hukuman penjara sehari kerana ini adalah kesalahan pertamanya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah mengambil kira kerugian yang dihadapi kilang berkenaan.
“Mahkamah perlu menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.