comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Indonesia didenda RM50,000 bela burung murai batu

Sadiyo dipenjara setahun selepas gagal membayar denda RM50,000. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Indonesia didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyimpan spesies yang dilindungi, lima burung murai batu tanpa lesen, minggu lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim membuat keputusan itu selepas Sadiyo, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan, dia tidak dapat menjelaskan denda itu sekali gus terpaksa menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang.

Sadiyo didakwa memiliki dalam simpanannya lima burung murai batu tanpa sebarang dokumen atau surat kebenaran yang sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kediaman pekerja di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, 9.15 malam, 22 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 60(2) akta sama.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Sadiyo dalam rayuannya menjelaskan dia baharu tiba dari Indonesia dan tidak tahu mengenai undang-undang negara ini yang memerlukan dokumen untuk menyimpan hidupan liar berkenaan.

Dia yang tidak diwakili peguam berkata, pendapatan hariannya sebagai pekerja ladang adalah RM50 sehari dan tidak mampu untuk membayar denda dikenakan.

“Saya masih baru di sini dan tidak tahu mengenai undang-undang di Malaysia. Membela burung murai batu adalah hobi saya ketika di kampung (Indonesia),” katanya.

Anggaran harga burung Murai Batu di pasaran gelap boleh mencecah sehingga RM10,000 hingga RM20,000 bergantung kepada panjang ekor dan suara burung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini