comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki letak pelekat bendera Israel di restoran makanan segera didakwa esok

KAJANG: Seorang lelaki akan dituduh di mahkamah, esok, selepas dipercayai meletakkan pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera di Hulu Langat pada 29 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, terdapat dua kes yang disiasat pihaknya sudah dirujuk dan mendapat arahan tuduh daripada Timbalan Pendakwa Raya, esok.

“Bagi kes pertama, ia membabitkan tangkapan suami isteri yang dipercayai meletakkan pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera di Hulu Langat pada 29 Mei lalu.

“Hasil siasatan dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes kedua pula membabitkan seorang wanita tempatan yang juga seorang guru tadika ditahan bagi siasatan kes mendera kanak-kanak di sebuah tadika di Bandar Mahkota Cheras, di sini, pada hari sama.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati wanita berusia 24 tahun itu akan didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Pemilik tadika iaitu seorang wanita tempatan berusia 34 tahun turut dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek bagi kedua-dua kes terbabit akan didakwa jam 8.30 pagi di Mahkamah Kajang, esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini