comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki mengaku bersalah, amang seksual pelajar tingkatan 3 di hotel 

Muhammad Shahrun dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah amang seksual terhadap pelajar.-Foto: NSTP

MUAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah hotel, minggu lalu.

Tertuduh Muhammad Shahrun Nizam, 19, bagaimanapun mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Sungai Abong, di sini, pada 5.30 pagi, 23 Mei lalu.

Dia dakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan laporan polis dibuat, tertuduh dan mangsa berasal dari Melaka, didakwa saling-mengenali melalui seorang rakan sebelum mereka bertandang ke bandar ini.

Tertuduh kemudian menyewa bilik hotel untuk melakukan perbuatan itu terhadap mangsa.

Kejadian itu terbongkar selepas bapa mangsa mahu mengejutkannya ke sekolah namun mendapati remaja itu tiada di rumahnya.

Berikutan itu, bapa mangsa bertanyakan rakannya dan dimaklumkan mangsa mengikuti tertuduh ke Muar.

Susulan itu, bapanya bertanyakan pada mangsa dan akhirnya mengakui tertuduh melakukan perbuatan itu ke atasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan memberitahu mahkamah untuk tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius.

“Bagaimanapun, terpulang kepada mahkamah menggunakan budi bicara sekiranya membenarkan tertuduh diikat jamin.

“Jika mahkamah membenarkan, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan,” hujahnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 2 Julai ini untuk laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain fakta dan juga hukuman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini