comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki mengaku bersalah baling bata ke arah cermin kereta bekas isteri 

BATU PAHAT: Bapa empat anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan khianat dengan membaling batu bata ke arah cermin hadapan kereta dinaiki bekas isterinya, bulan lalu.

Tertuduh Sharulnizzan Mohamad, 37, yang juga pekerja kebun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, Sharulnizzan didakwa melakukan khianat terhadap cermin hadapan kereta dalam kejadian di Parit Raja, pada jam 2 petang, 7 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dengan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga bekas isterinya didakwa keluar rumah dengan menaiki sebuah kereta.

Tertuduh didakwa mengekori kereta terbabit sebelum membaling batu bata dan kena pada cermin hadapan kenderaan itu.

Tindakan diambil tertuduh adalah kerana berang bekas isterinya tidak menyekolahkan anak-anak di bawah jagaannya.

Susulan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Parit Raja untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan juga mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini