comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Lelaki mengaku bersalah, pukul adik hingga parah kerana enggan beri wang

BATU PAHAT: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap adik kandungnya kerana enggan memberi wang kepadanya, Isnin lalu.

Tertuduh, Tan Wee Meng, 23, yang masih bujang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas adiknya berusia 14 tahun di sebuah rumah, Taman Flora Height, di sini, 7.30 petang, 24 Jun lalu.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Tan (baju kuning) diiringi polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat kerana mencederakan adik kandung.-FOTO: NSTP

Hukuman bagi Seksyen 325 ialah, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A, tertuduh boleh dihukum penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan mengikut seksyen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukan serius dan tidak boleh diikat jamin selain kemungkinan boleh berlaku kejadian sama.

“Namun, terpulang kepada budi bicara mahkamah dan jika ikat jamin dibenarkan, pihak pendakwaan menawarkan RM15,000 dengan seorang penjamin,” hujahnya.

Selain itu, pihak pendakwaan juga memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baru memandangkan laporan perubatan belum diterima.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Julai ini untuk laporan perubatan.

Pada masa sama, mahkamah juga mengenakan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran, tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi serta tidak boleh menetap serumah dengan mangsa.

Sejurus prosiding sebutan kes selesai, tertuduh dihantar Pusat Koreksional Muar kerana gagal membayar ikat jamin dikenakan terhadapnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini